Sekali Lagi Aku Diberi Kesempatan
Sekali lagi aku diberi kesempatan
bersama Ramadhan karim
tidak seperti jiran sebelah sebelumnya sudah menutup usia
sebab janjinya tiba
Aku langitkan syukur kerana tak hanya terubat rindu menahun
tapi bahkan tandangmu justeru anugerahkan berbilang keistimewaan
pintu syurga dibuka selebar-lebarnya
pintu neraka dikatup serapat-rapatnya
syaitan laknat diikat sekuat-kuatnya
setiap amal kebaikan dilipatganda pahala
puasa dijalani tingkatkan sabar di dada
meluap simpati tertuju golongan tak mampu
melenyaplah dosa-dosa semalam
diri jadi bersih seperti bayi baru lahir
Ramadan,
setiap detikmu adalah zikirku, selawat dan tadarus
kitab suci pandu langkah di jalur yang betul
tak henti-henti doa mengalir
diberi kekuatan dan usia yang berkat
berjaya capai keredhaan-Mu, Tuhan
MELAKA, 25022023
Alangkah Manisnya Pertemuan
Pelita itu pun padam kehabisan minyak
tak dapat dinyala semula seperti tersalah langkah
balik ke pangkal jalan
dosa-dosa tercipta masih boleh dibersihkan dengan taubat nasuha
kerana pintunya sentiasa terbuka selagi ada nafas
Sebaik Sya’ban pergi maka tandang Ramadhan
alangkah manisnya pertemuan
syukur aku masih diberi peluang musim ini
berdamping dengan penghulu segala bulan
penuh bimbingan dan pengajaran
ingin diri jelma lebih baik dari diri yang semalam
Paling kutunggu
sangat kurindu
diberi kesempatan bertemu lailatulqadr
satu malam lebih baik seribu bulan
hanya ada di bulanmu, Ramadhan
SELANDAR, MELAKA, 23022023
Sudah Masanya
Pohon tak tumbang kerana akarnya mencengkam tanah
mematuhi perintah Tuhan
manusia mudah goyah disebabkan pegangan tidak kuat
mudah saja tunduk pada nafsu
lazimnya membawa ke lembah kemusnahan
alangkah nistanya perangai
Sampai bila harus kalah?
sudah masanya kita merengkuh redha-Nya
di bumi ini
dengan hindari segala bentuk kemungkaran
luruskan lidah yang selalu bengkang-bengkok
bersihkan hati dihinggapi noda dan jelaga
jaga akhlak jangan sampai melampaui
jejaki jalan dilalui para solihin
tak lupa doa dan solat
perintah diterima junjungan di malam Israk Mikraj
Sudah masanya kita jadi pohon berdiri teguh
lalu berbunga wangi dan indah
lalu berbuah manis dan lazat
Melaka, 18 FEB 2023
—————–
Mohd Adid Ab Rahman bermukim di Melaka, Malaysia. Pernah menimba ilmu di Universitas Islam Negeri Banda Aceh dalam bidang Dakwah dan UTM, Skudai, Johor (Universiti Teknologi Malaysia) Seorang pesara guru KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia. Berminat dalam bidang puisi sejak masih belajar di sekolah dan sekarang menjadi ahli Ikatan Persuratan Melayu Melaka. Puisi-puisi pernah muncul di Berita Harian, Utusan Borneo, Harian Ekspres, Mingguan Malaysia, majalah Dewan Sastera, Tamadun Islam, Wanita dan lain-lain. Majalah online seperti LamanRiau.com, PotretOnlinecom, Kosana.my.id., sksp-literary.com, Sabah360 online, Suarakrajan online dan Riausastra.com. Sudah mempunyai puluhan antologi bersama di antaranya Antologi C Antagonis (ASWARA 2020), Bahtera Merdeka (Tinta Karya 2020), Pasrah (PTK 2020), Citra Yang Tak Padam (Narangkai Publications 2021), Sejernih Embun (KS 2021), Menjunjung Langit (Pena Padu 2022), Tangisan Tengkujuh (Pena Padu 2022), Jendela Enggan Tertutup (Kembara Sastera 2023).
Baca : Puisi-puisi Karya Mohd Adid Ab Rahman, Melaka (Bag.9)