Puisi-puisi Karya Mohd Adid Ab Rahman, Melaka (Bag.6)

Bergema Takbir Marakkan Idul Adha

Saban tahun Zulhijjah persaksi betapa tetamu Tuhan melimpah
dari pelosok jauh atau dekat bagi melengkapi rukun Islam
membawa harapan semanis kurma di tanah suci
dilupuskan dosa-dosa sampai tak berbaki jadi selembar kain putih
lazimnya mengafan jenazah sebelum dikebumi
oh menginsafkan sekali
dan saat balik nanti dibarengi haji mabrur
natijahnya syurga abadi tiada noktah

Aku masih menunggu panggilan-Mu, Tuhan
dengan rindu menggebu dan doa paling biru
nombor giliran terdekat
musim mendatang namaku diseru

Bergema takbir marakkan Idul Adha
diiringi keriuhan pelaksanaan qurban di sana sini
aku teringat kisah Ibrahim menyembelih anakandanya Ismail
satu pengorbanan tak terukur amat besar
tak ada orang sanggup kecuali ada kekuatan luar biasa
membalut dada
sentiasa ikhlas patuhi perintah Tuhan

Di hari mulia ini
alangkah indahnya persaudaraan ajaran Nabi
degupi suasana saling memaafkan demi kasih sayang

Karya,
MOHD ADID AB RAHMAN
Melaka, Malaysia 3 Juli, 2022

 

Di Wajah Terlakar Cerita Deburan Resah

Di wajah terlakar cerita deburan resah
bermula hidup makin tertekan
bukan beban kerja samalah beban hutang
tapi harga barang keperluan tinggi menjulang
dan tak akan mengalir lagi ke lembah-lembah
sementara upah kerja di takuk lama

Apakah ini desakan supaya bekerja lebih keras lagi
demi hidup berdegup secara wajar
atau cara mengajar biasakan dengan kesusahan
hingga jadi kawan selama-lamanya?
bagaimana bisa kuambil langkah seribu
serupa lari pencuri ketika dikejar
kalau ini takdir kuanggap sarapan
dimakan dengan selera berlapang dada

Tak guna secuilpun melolong
kerana tak pernah bisa mengubah cuaca
kecuali yakin rezeki tuhan di mana-mana tak mungkin kehabisan
terus mengais pagi petang
malam nanti nescaya akan jadi cantik

Karya,
MOHD ADID AB RAHMAN
Melaka, Malaysia 4 Juli 2022

Daun Itu pun Gugur

Daun itu pun gugur
tepat masanya seperti di suratan
tergeletak diam dalam suram dan sunyi
tiada lagi kata-kata
tiada lagi gerak kerja
hilang sudah bentuk rupa

Terlepas masa muda hijau segar
berkhidmat mengagihkan oksigen untuk kehidupan
hikayat jarang dibicarakan dan ramai tak menyedari
terima kasih atas jasamu

Seperti aku kini
kering layu di usia tua
akrab dengan sepi
bermain-main dengan harapan
esok akan pergi
ada doa mengiringi
disambut Tuhan penuh kasih redha

Karya,
MOHD ADID AB RAHMAN
Melaka, Malaysia
22 Juni 2022

——————————–
Mohd Adid Ab Rahman bermukim di Melaka, Malaysia. Pernah menimba ilmu di Universitas Islam Negeri Banda Aceh dalam bidang Dakwah dan UTM, Skudai, Johor (Universiti Teknologi Malaysia). Berminat dalam bidang puisi sejak masih belajar di sekolah.dan sekarang menjadi ahli seumur hidup Ikatan Persuratan Melayu Melaka dan Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA). Puisi-puisi pernah muncul di Berita Harian, Utusan Borneo, Harian Ekspres, Mingguan Malaysia, majalah Dewan Sastera, Tamadun Islam, Wanita dan lain-lain. Majalah online seperti LamanRiau.com, PotretOnlinecom, Kosana.my.id., sksp-literary.com, Sabah360 online, SuaraKrajan.com dan Riausastra.com. Sudah mempunyai puluhan antologi bersama antara lain Antologi C Antagonis (ASWARA 2020) Bahtera Merdeka (Tinta Karya 2020) Pasrah (PTK 2020) Citra Yang Tak Padam (Narangkai Publications 2021) Sejernih Embun (KS 2021). *

Baca : Puisi-puisi Karya Mohd Adid Ab Rahman, Melaka (Bag.5)

*** Laman Puisi terbit setiap hari Minggu. Secara bergantian menaikkan puisi terjemahan, puisi kontemporer nusantara, puisi klasik, dan kembali ke puisi kontemporer dunia Melayu. Silakan mengirim puisi pribadi, serta puisi terjemahan dan klasik dengan menuliskan sumbernya ke email: [email protected] [redaksi]

Ikuti berita lamanriau.com di GoogleNews

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *