Cerpen Mohamad HM: Suatu Kebermaknaan

Ilustrasi

“KITA hidup mencari makna. Maksud mencari bukanlah kerana makna itu hilang, tetapi makna hidup kadangkala tidak kelihatan dengan mata kasar. Dengan kata lain, mencari ialah langkah menemukan sesuatu yang sepatutnya dimiliki.”

Dalib tersenyum setelah melontarkan kalimat yang terpendam dalam minda, sambil menanggalkan kacamatanya, mengelapnya dengan sapu tangan.

“Dalam maksudnya kata-kata engkau, Dalib,” balas Harun, polos.

“Itulah hakikat kehidupan kita, Run. Semua orang mencari makna hidup. Yang mungkin berbeza ialah cara mencari itu dinyatakan atau tidak. Itu saja.”

“Ya, ya, aku setuju pandangan engkau. Dalam agama, kita mencari kebenaran, bahkan kita mudah menemukan kebenaran itu karena agama kita agama yang benar,” Harun ternyata mengerti jalur pemikiran Dalib.

Harun dan Dalib kawan sebaya, pernah belajar sekelas, yang ditakdirkan bertemu kembali setelah menamatkan perkhidmatan masing-masing, baru tiga bulan. Harun, mantan pegawai imigrasi dan Dalib, mantan guru. Indahnya takdir Allah.

Sedang dua orang sahabat itu bersembang di ruang tamu, Rafeah muncul membawa pisang goreng dan seteko minuman panas berserta dua biji cawan beralas piring.

“Jemputlah minum, Encik Harun, Abang Dalib,” sapa Rafeah.

“Wah, macam tahu saja perut sedang lapar,” usik Harun, tersenyum memandang sajian, meskipun ringkas namun menimbulkan selera.

“Biasalah, sesekali kita minum di rumah. Sesekali masa lain pula, kita minum di warung atau di kedai,” sambung Dalib.

“Makanan minuman pun memberikan makna kepada kita, misalnya yang berstatus halal. Betul tak?” Harun menyorot kembali mauduk tadi.

Dalib tersenyum, memandang sajian, kemudian memandang Harun.

“Memanglah begitu. Makanan dan minuman yang halal untuk hidup memberikan makna kepada kita, tetapi…”

“…Tetapi apa pula, Cikgu Dalib?” Harun tidak sabar mau melanjutkan bicara.

“Tetapi hidup tentu menjadi tidak bermakna kalau kita kata hidup kita semata-mata mau mencari makanan dan minuman!”

“Betul sangatlah, Dalib. Semua orang tahu, kita makan, minum adalah untuk hidup!”

“Jangan sampai teh itu sejuk, Run. Pisang itu pun, semasa panaslah sedap dimakan,” Dalib berbasa-basi. Sebenarnya, dia sendiri sedang kelaparan.

Ketika itu, malam belum lanjut lagi, kata kebanyakan orang. Kata orang muda, malam masih muda. Pada masa kini, setiap peranti pintar sudah dilengkapi jam. Telefon pintar bagaikan sehimpunan jawaban tentang pencarian makna hidup dibantu teknologi komunikasi.

“Sudah lama kita meninggalkan saat-saat indah bersembang macam malam ini ya, Run,” Dalib bersuara menamatkan jeda sambil menikmati juadah di hadapan mata.

Harun tersenyum sambil mengunyah pisang goreng.

“Dalib, engkau betul-betul guru sejati. Ayat engkau buat aku terkesima. Hakikatnya betul, dulu kita asyik kejar sana sini, buat macam-macam kerja karena ikut arahan atasan.”

“Aku sadar, dulu kita mencari makna dalam karier kita. Engkau dengan tugas di Jabatan Imigrasi, aku di Jabatan Pendidikan. Kita mencari makna bagi sebuah amanah, betul tak?” Dalib membalas dengan gaya berfalsafah.

“Engkau ni Dalib, semakin lewat malam semakin tinggi bahasa yang kau ucapkan,” Harun mengusik Dalib. Mereka ketawa memecahkan keheningan suasana.

Perbualan dua orang sahabat usai setelah sepiring pisang goreng dan seteko teh sudah selamat dinikmati. Harun meminta diri sebaik-baik sahaja menerima WhatsApp daripada isterinya. Dalib mengangkat dulang berisi piring, teko dan cawan lalu dibawa ke sinki dapur.

***

“Panjang sembang abang tadi,” ucap Rafeah.

“Berjumpa kawan lama, begitulah. Saja bual-bual kosong, tetapi tiba-tiba jadi bualan yang serius pula!”

“Abang serius sokmo. Bukankah dah pensiun, santai-santai sajalah!”

“Apa kata kita bercuti di Batam? Abang tengok Batam begitu maju, sesuai untuk lapangkan fikiran,” Dalib mengajukan cadangan, seperti mau mematahkan saran istri barunya, yang baru melangkah ke tahun kedua perkawinan.

“Abang tengok Batam di mana? Tentulah pada telefon ya.”

“Yalah mana lagi. Sekarang, terlalu banyak maklumat yang melintas depan mata kita!”

Dalib menyambung lagi, “Kali terakhir abang ke Batam pada tahun 2015, ikut rombongan GAPENA,” beritahu Dalib, mengimbau kisah lapan tahun yang lalu.

“Masa itu, saya belum kenal abang lagi,” Rafeah mencelah.

“Kalau kenal tentu jodoh kita lebih awal lagi kot,” Dalib bersenda, menyambung lagi, “Masa itu wajah awak belum masuk dalam minda saya. Kita hanya bertemu baru dua tahun. Enam tahun abang hidup sendiri.”

“Apa yang menyebabkan abang tergerak hati mau kawin dengan saya?”

“Awak ni Feah, sudah lewat malam ni, abang tak larat nak jawab soalan awak,” Dalib mencari celah terhadap soalan yang terlalu peribadi itu. Bukan tiada jawapan, tetapi fikirannya mahu menyatakan hal yang lain.

“Sudah ditakdirkan kita bertemu, ‘kan.” Dalib menyambung bicara, “Abang berikan jawaban di Tanjungpinang nanti.”

Rafeah tersenyum. Perasaannya lega mendengar jawaban daripada sang suami.

“Kenapa abang pilih Tanjungpinang? Banyak tempat lain lagi. Selain Tanjungpinang, Bandung, Semarang, Palembang, Lampung, Pekanbaru juga menarik.”

“Bukan apa, tadi abang lihat video pemandangan Kota Batam yang sangat mengagumkan, jauh berbeza daripada masa kunjungan abang yang lalu.”

“Satu perkara lagi, Tanjungpinang, Kota Batam terkait dengan Pulau Penyengat. Pulau itu selalu disebut orang, terkait dengan nama seorang tokoh. Tokoh itu ada kaitan dengan puisi yang abang suka, gurindam,” beritahu Dalib.

“Oh, macam itu. Saya ikut sajalah mana yang abang bawa,” ujar Rafeah dalam nada yang mendatar, sesuai dengan malam yang kian dini.

“Esok, kita tinjau waktu perjalanan feri.”

Dalib membayangkan pengalaman ketika berkunjung ke Batam pada 2015, menaiki fery dari jeti di Stulang Laut, Johor Bahru dan tiba di jeti Batam. Pengalaman menyertai panitia Dialog Selatan di Tanjungpinang yang paling jelas dalam ingatannya hanyalah peristiwa dia membentangkan makalah, menghadiri kenduri. Dalam majlis itu ada acara nyanyian.

Ketika kunjungan itu juga, Dalib menemukan makna kehadirannya di Batam. Dalam majlis kenduri yang diserikan dengan penampilan kumpulan pemusik tempatan, Dalib mendendangkan lagu yang sinonim dengan nama biduan Almarhum Ahmad Jais, Di Ambang Sore. Dalib langsung terpesona mendengar lagu-lagu irama ‘60-an yang dendangan para pemusik undangan panitia. Lebih daripada itu, yang turut mempesonakan Dalib ialah gaya percakapan orang Kepulauan Riau. Dalib mendapati lenggok bahasa percakapan orang di sana tidak berbeda daripada lenggok percakapan orang Malaysia. Itulah yang disebut lenggok Johor-Riau agaknya.

Rafeah sudah terlena lebih awal, barangkali tidak biasa melewatkan waktu tidurnya, sementara Dalib sudah lazim melanggar aturan waktu tidur. Menjelang 12.30 tengah malam, kesunyian di persekitaran memeluk suasana rumah yang hanya dihuni pasangan suami istri, Dalib dan Rafeah. Anak-anak Dalib daripada istri pertamanya tinggal terpisah.

***

“Abang, saya kelirulah,” beritahu Rafeah kepada suaminya.

“Keliru apa pula? Maklumat daripada carian Google itu ‘kan jelas.”

“Saya keliru, mana satu nama bandar, nama negeri atau nama wilayah? Indonesia terlalu luaslah, bang.”

“Yalah, itulah kesannya kita tak belajar geografi negara jiran. Mereka pun agaknya tak belajar geografi negara kita. Abang pun tak tahu semua perkara tentang Indonesia. Nanti kita teliti peta Indonesia,” Dalib meyakinkan Rafeah, sambil teringat akan maklumat tentang nama-nama kota terbesar di negara jiran yang pernah disiarkan di Facebook.

“Oh ya, abang baru teringat. Ada kenalan abang, Cikgu Nizam dari Muar pernah membagikan informasi ini. Coba awak taip pada carian Google ‘38 Provinsi Indonesia’, tentu lengkap,” beritahu Dalib, amat meyakinkan.

“Sekejap saya coba cari,” sambut Rafeah, riang.

Dalam sekejap, pencarian informasi berdasarkan kata kunci yang diberikan oleh Dalib berjaya menemukan hasilnya. Rafeah kaget melihat sejumlah informasi berjudul “Daftar 38 Provinsi di Indonesia”.

“Lengkapnya, bang! Takkan nak catat kesemuanya. Saya fikir, kita catat beberapa maklumat yang kita perlukan sahaja ya.”

“Okey, maklumat asasnya: Indonesia ada 38 provinsi. Provinsi sama dengan negeri kalau di negara kita. Tempat yang kita nak pergi ini ialah Tanjungpinang, ibu kota bagi provinsi Kepulauan Riau. Ingat ya, Kepulauan Riau dan Riau dua provinsi yang berbeza. Riau, ibu kotanya Pekanbaru, tempat yang kita kunjungi tahun lalu.”

“Wah, awak semakin cekap baca maklumat dalam peranti,” puji Dalib.

“Siapa mentornya kalau bukan cik abang sayang!” sambut Rafeah.

“Amboi, ini kena bagi hadiah! Nanti abang belikan hadiah semasa kita di Tanjungpinang.”

“Janganlah belikan kain batik lagi, sudah banyak, tak terpakai saya! Macam anak-anak abang, tak terpakai batik arwah ibu mereka!”

“Hadiahnya bukan kain batik. Awak tunggulah hari dan masanya. Supres!”

Dalam keriangan membaca informasi daripada laman “indonesia baik.id” yang diterbitkan setahun yang lalu, redakturnya Andrean W. Finaka, desain oleh Ananda Syaifullah dengan jumlah pengunjungnya 1.942.988, Rafeah masih kurang berpuas hati. Dalib terus dihujani pertanyaan kecil.

“Apa beda Batam dan Tanjungpinang?”

“Abang pun bukan arif sangat. Rasanya, Batam ialah nama pulau dan nama kota juga. Tanjungpinang juga nama kota. Tak apa, nanti kita jumpa kenalan abang di sana, semuanya akan terungkai. Jangan sedih pula, bukan ada soalan ujian pun!”

Mereka sama-sama tertawa, terbayangkan suasana semasa bersekolah agaknya.

“Abang, apakah ‘Wilayah Persekutuan’ di negara kita sama dengan ‘Daerah Istimewa’?

Dalam informasi ini ada catatan tentang Daerah Istimewa Yogyakarta, kemudian DKI Jakarta. Agaknya DKI itu Daerah Khusus Istimewa kot,” sambung Rafeah lagi.

“Awak jangan susah hati. Bukan semua orang di sana tahu 38 nama provinsi. Di negara kita juga, bukan semuanya tahu senarai 14 negeri dan wilayah persekutuan. Tidak semua orang ada keperluan untuk tahu semua informasi,” Dalib berbicara untuk menenangkan perasaan
isterinya.

“Okey abang, nak tanya juga. Saya selalu dengar dan baca berita tentang Indonesia memindahkan ibu kota ke Kalimantan. Abang ada informasinya?”

“Saya kagumlah, awak sentiasa berminat nak belajar. Mentang-mentang suami awak seorang guru, tetapi guru pensiun!” seloroh Dalib, lalu menyambung lagi, “Yang abang pernah baca dan lihat videonya, ibu kota baharu itu namanya Nusantara, diberikan panggilan Ibu Kota Nusantara atau IKN. Lihat videonya, memang sangat menarik!”

“Bila kita nak melancong ke sana pula?” Rafeah coba memprovokasi Dalib.

“Tunggulah projek kereta api rentas Borneo siap! Projek itu akan dimajukan oleh sebuah syarikat dari negara tetangga, Brunei Darussalam.”

“Kita berdoalah, abang, semoga Allah berikan rezeki kesehatan dan keuangan. Apalagi yang dapat menghiburkan kita, terutamanya saya sendiri?”

“Sabar, awak. Ada rezeki lagi, kita ke Tanah Suci,” saran Dalib, dengan harapan dapat menceriakan hati sang istri.

***

Rancangan berwisata ke Tanjungpinang bukan urusan pribadi keluarga Dalib dan Rafeah saja. Mereka sebenarnya berusaha mau mengumpulkan sahabat dan saudara-mara untuk acara wisata ke wilayah terdekat dan mudah di negara jiran.

“Harun, jom ikut kami. Bukan mahal mana pun, naik feri saja,” beritahu Dalib dalam WhatsApp kepada sahabat karibnya.

“Aku berminat juga nak lihat negara jiran kita, tetapi pada minggu yang dijadwalkan, kami sekeluarga sudah mengatur rancangan ke Pulau Pinang,” jawab Harun.

“Yalah apakan daya, seronok juga kalau kita dapat berkumpul di sana, tentu meriah nanti!”

“Engkau nak mencari apa lagi di Batam? Dulu mencari calon istri, sekarang sudah ada istri, cuma tiada …!” Harun tidak meneruskan kalimatnya.

“Aku faham kata-kata kau. Aku bersyukur, Run. Nak bertemu jodoh dengan istri pun bertahun-tahun. Sesudah mendapat isteri, zuriat bukan matlamat aku. Anak-anak aku sudah cukup menjadi penghibur.”

Tiba hari yang ditentukan, bergeraklah 11 anggota rombongan dari Seremban ke Stulang Laut, Johor Bahru. Dalib dan Rafeah serta anak bungsu Dalib sekereta, anak Dalib dua orang lagi serta suami kepada anak sulung Dalib sekereta, disertai dua keluarga, masing-masing pasangan suami istri sebelah Dalib dan sebelah dalam dua buah kereta. Kesemuanya bergerak secara konvoi dalam empat buah kereta. Mereka melewati lebuh raya PLUS yang tidak begitu sibuk karena luar musim perayaan.

Fikiran Dalib menerawang ketika duduk di sebelah anaknya, yang ditugaskan menjadi pemandu. Dia mengimbau ungkapan tentang pencarian makna dalam hidup, sekaligus merenung kembali nawaitu sebalik kunjungannya ke negara jiran.

‘Apa yang ingin kucari? Kegembiraan, rasanya sudah cukup. Kebahagiaan, syukurlah apa-apa yang kumiliki sekarang. Menambah pengetahuan? Pengetahuan menerusi peranti teknologi maklumat dan komunikasi yang pelbagai jenama mudah sahaja ditemukan dengan mengklik butang peranti. Ya, mungkin mencari pengetahuan mentah secara berhadapan dengan fakta di lapangan?’

Benak Dalib cergas berfikir, sementelah Rafeah di tempat duduk belakang senyap sepanjang jalan, barangkali terlena. Sesekali kereta yang bergerak secara berkumpulan terlerai oleh situasi kendaraan lain yang memilih lorong paling kanan, dengan melaju melebihi kadar yang diizinkan.

Tiba-tiba Dalib dikejutkan dengan bunyi panggilan masuk pada peranti telefonnya.

“Abang Dalib, kami berhenti di Hentian R&R Sedenak. Ada kecemasan kecil, isteri saya sakit perut, muntah! Kami tunggu di Stesen Petronas,” beritahu Jamal, adik ipar Dalib.

“Baik, tenang-tenang saja. Kita berjumpa di sana sekejap lagi.”

***

Perasaan Dalib yang cemas tadi kini kembali reda. Empat buah kereta meneruskan perjalanan menghala ke Johor Bahru. Dalib sedar bahawa perjalanan percutian ke Pulau Batam tidaklah begitu mencabar. Namun, pengalaman menaiki feri ternyata sesuatu yang menggembirakan, apalagi disertai seisi keluarga Dalib. Dalib terbayangkan suasana ketika kunjungannya ke Pulau Batam pada tahun 2015. Pandangan sisi kota raya Singapura dapat dilihat dengan jelas sepanjang pelayaran feri. Pengalaman itu berulang lagi, kini dia dan keluarganya diberikan rezeki oleh Allah untuk meninjau suasana negara jiran serumpun, bahkan pernah diberikan julukan negara “abang-adik”, pastinya Indonesia abang, Malaysia adik.

Dalam perjalanan yang sudah memasuki Daerah Johor Bahru, Dalib teringat akan perbincangan dengan Harun beberapa hari yang lalu.

Kata Harun, di negara serumpun akan ditemukan keadaan yang sama dan yang berlainan. Yang sama rasanya lebih banyak daripada yang berlainan. Makanan minuman sama, budaya yang sama dan yang berbeda. Bahasa pun begitu, sama dan berbeda. Berbeda sebutan dan makna. Dalib sadar, kesemua itu kurnia Allah jua.

“Betul, Run. Tentang perkara yang sama dan yang lain itulah yang buat aku tak pernah jemu berkunjung ke tanah seberang. Kalau kita rajin, banyak perkara yang dapat kita pelajari,” kata Dalib, membalas kata-kata Harun.

Dalib juga masih ingat terhadap kunjungan awalnya semasa bergelar mahasiswa dahulu. Dia kagum melihat sawah padi di sana. Di tengah-tengah sawah padi ditanam tebu, dan macam-macam tumbuhan lain lagi. Sawah padi turut dimajukan di tanah yang berbukit!”

“Mereka rajin karena berdepan dengan cabaran hidup di tengah-tengah ratusan juta penduduk!” Harun pernah berhujah sedemikian.

“Bukan Indonesia sahaja, di seluruh dunia, manusia menjadi rajin, kreatif dan maju karena adanya cabaran. Kita kena baca sejarah, selain tahu hal sosioekonomi dan geografi,” tambah Dalib.

“Semoga perjalanan kita selamat, pergi dan balik,” lafaz Dalib usai urusan parkir kendraan di jeti Stulang Laut, selanjutnya menikmati suasana pelayaran bersama-sama rombongan yang dipimpinnya. Moga akan bersua makna serumpun sebudaya, sepadang sepermainan lapangan sejarah bangsa suatu ketika dahulu.

Ketika feri Citra Indomas sedang merapat Terminal Feri Pusat Batam, Dalib sempat melamun. ‘Aku cuma ingin mencari kesejahteraan minda di tanah serumpun ini. Isteri dan anak-anak serta yang lain-lain kuharap akan lebih mengenali sejarah bangsa serumpun.’

‘Pulau Penyengat, Tanjungpinang, aku mampir di tanah bertuah ini,’ bisik Dalib. ***

————————-
Mohamad HM atau Mohamad Musip ialah anak jati Melaka, Malaysia. Merupakan Munsyi Dewan (Bahasa) DBP serta mantan guru Bahasa Melayu di empat buah sekolah menengah dan Pensyarah Cemerlang Bahasa Melayu di IPGK Perempuan Melayu Melaka serta SISC+ di sebuah PP. Kini, merupakan Setiausaha Satu Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA) dan AJK Persatuan Editor Malaysia. *

Baca: Puasa

*** Laman Cerpen terbit setiap hari Minggu dan menghadirkan tulisan-tulisan menarik bersama penulis muda hingga profesional. Silakan mengirim cerpen pribadi, serta terjemahan dengan menuliskan sumbernya ke email: [email protected]. Semua karya yang dikirim merupakan tanggungjawab penuh penulis, bukan dari hasil plagiat,- [redaksi]

Ikuti berita lamanriau.com di GoogleNews